Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Maldives (FAM), Bassam Adeel Jaleel, difahamkan telah dikenakan hukuman larangan seumur hidup daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak.
Tindakan itu diambil Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan Bassam didakwa menyalahgunakan dana bantuan COVID-19 untuk kepentingan peribadi.
Sebelum ini dia digantung sementara siasatan dijalankan sebelum badan induk bola sepak dunia itu mengarahkan dia untuk membayar denda sebanyak AS$1.23 juta (RM3.58 juta).
Bassam dilaporkan sedang menjalani hukuman penjara 32 tahun kerana memasukkan dana FIFA itu ke akaun peribadinya selain menggunakan dana itu untuk membeli sebuah apartmen.
FIFA menyatakan bahawa bekas pengarah kewangan dan pentadbiran FAM, Mohamed Ageel, turut dikenakan larangan selama 10 tahun.
Sementara itu, FIFA turut mengumumkan larangan seumur hidup terhadap bekas presiden Persatuan Bola Sepak Montserrat (MFA), Vincent Cassell, serta denda satu juta franc Switzerland atas kesalahan "penyalahgunaan jawatan, konflik kepentingan secara sistematik, penyalahgunaan dana FIFA dan MFA, serta perlakuan yang menjejaskan integriti fizikal dan mental kakitangan MFA."
Bekas Setiausaha Agung MFA, Tandica Hughes, pula dikenakan larangan selama 15 tahun dan denda 150,000 franc Switzerland kerana "mendapat manfaat peribadi serta memudahkan transaksi tidak wajar yang melibatkan sumber FIFA dan MFA," menurut FIFA.