Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, berjaya merangkul Anugerah Story of The Year kategori elektronik dalam Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) malam tadi, selepas menyediakan laporan terbaik berkaitan Toyota Gazoo Racing (TGR).
Fina bersama jurukameranya, Mohd Irsyahdi Tumian, menerusi karya 'Nakhoda Sebuah Perlumbaan' ketika membuat liputan mengenai penganjuran TGR di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang memasuki tahun kelapan itu pada tahun lalu.
Advertisement
Laporan itu mengisahkan tentang Pengarah Perlumbaan 2025, M. Ravin, yang mengawal setiap aspek perlumbaan, termasuk memantau segala kejadian yang berlaku ketika sebelum, semasa dan selepas kejohanan.
Tujuannya hanya satu; bagi memastikan kelancaran perlumbaan dan bebas daripada segala perkara negatif yang tidak diingini.
Itulah hakikat yang tidak semua tahu, di sebalik perlumbaan yang dramatik, ada perang berlaku di sebuah bilik yang cukup sibuk memantau setiap inci perlawanan berlangsung.
Ia bukan satu amanah yang ringan kerana segala keputusan terbeban di bahunya.
Pelbagai prosedur yang perlu dilalui untuk sebuah keputusan tepat, hinggakan apa yang tersiar di kaca televisyen atau di laman sosial bergantung kepada keputusan dari bilik kecil ini.
Ini kisah yang diangkat selaku laporan terbaik 2025. Cerita tentang seorang individu dengan kebijaksanaanya yang mahu segalanya berjalan lancar.