Marcus Rashford sekali lagi menjaringkan gol ketika Barcelona mendahului empat mata di puncak LaLiga dengan kemenangan di Elche.
Juara bertahan itu mendahului pada minit keenam apabila Dani Olmo melakukan lorongan buat Lamine Yamal dan pemain berusia 18 tahun itu berjaya melepasi penjaga gol Elche, Inaki Pena sebelum melorongkan bola ke gawang.
Advertisement
Elche, yang kali terakhir menewaskan Barcelona pada Disember 1974, menyamakan kedudukan melalui Alvaro Rodriguez pada minit ke-29 minit.
Bagaimanapun, pasukan kendalian Hansi Flick mengembalikan kelebihan mereka 11 minit kemudian apabila Ferran Torres merembat masuk hantaran Frenkie De Jong.
Pemain pinjaman Manchester United, Rashford, masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa dan menambah gol ketiga pelawat.
Ia merupakan gol ke-10 Rashford musim ini dan gol keduanya dalam dua perlawanan seusai dia menjaringkan gol menentang Copenhagen dalam Liga Juara-Juara pada hari Rabu.
Kemenangan itu merupakan kemenangan ke-15 Barcelona dalam 16 perlawanan dalam semua pertandingan.
Ia memberi tekanan kepada Real Madrid yang berada di tempat kedua, yang bermain satu perlawanan kurang dan boleh mengurangkan jurang pendahuluan Catalans di puncak liga kepada satu mata apabila mereka menentang musuh setempat Rayo Vallecano di tempat sendiri hari ini.