Jaringan separuh masa kedua pemain muda sensasi, Lamine Yamal memastikan Barcelona meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi LaLiga yang berlangsung di San Mamés Stadium, awal pagi tadi.
Kemenangan sukar itu membolehkan Barcelona terus mengekalkan kedudukan di puncak liga dengan kelebihan empat mata di hadapan seteru utama, Real Madrid.
Advertisement
Pengendali Barcelona, Hansi Flick melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memberi rehat kepada tonggak utama menjelang aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Newcastle United pada awal pagi Rabu ini.
Susulan itu, Barcelona bergelut untuk mencipta peluang pada separuh masa pertama apabila Athletic Bilbao lebih banyak menguasai permainan. Malah, penjaga gol Barcelona, Joan Garcia, terpaksa bekerja keras menafikan beberapa percubaan berbahaya pasukan tuan rumah menerusi beberapa aksi cemerlang.
Memasuki babak kedua, Flick melakukan perubahan dengan memasukkan Raphinha, Pedri dan Robert Lewandowski bagi meningkatkan tempo permainan.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-68 apabila Pedri melepaskan hantaran tepat kepada Yamal yang melakukan larian dari sebelah kanan kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menembusi penjuru atas gawang, sekali gus menewaskan penjaga gol Bilbao, Unai Simón.
Gol itu sudah cukup untuk memastikan tiga mata penting buat Barcelona.
Keputusan tersebut menyaksikan Barcelona kini mengumpul 67 mata untuk terus kekal di tangga teratas La Liga, manakala Athletic Bilbao berada di kedudukan kesembilan dengan 35 mata selepas perlawanan ini.
Kemenangan itu juga memberikan suntikan keyakinan kepada Barcelona menjelang cabaran penting mereka di pentas Eropah minggu ini.