Bintang Real Madrid, Kylian Mbappe, dilaporkan menjadi antara 26 individu berprofil tinggi yang disasarkan dalam satu plot penculikan oleh sebuah kumpulan gangster di Perancis.
Menurut laporan akhbar Perancis, Le Parisien, rancangan berkenaan didakwa menyasarkan golongan kaya dan terkenal termasuk pemain bola sepak, penyanyi rap, ahli perniagaan serta pemilik kedai barang kemas.
Plot tersebut dipercayai dikendalikan dari dalam penjara oleh seorang remaja berusia 18 tahun yang dikenal pasti sebagai Clement L.
Clement sebelum ini sudah ditahan dan dipenjarakan kerana kes rompakan bersenjata selepas dikenal pasti sebagai salah seorang daripada dua lelaki yang terlibat dalam serangan terhadap seorang pembuat jam di Paris.
Dia juga sedang menjalani tahanan sementara berkaitan kes pelacuran dan rompakan terancang.
Bagaimanapun, pihak berkuasa kemudian mendapati Clement dipercayai masih mengarahkan kegiatan kumpulannya dari dalam penjara menggunakan dua telefon bimbit.
Dia didakwa menggunakan aplikasi Snapchat dengan nama samaran Lester Z untuk berkomunikasi dan mengeluarkan arahan.
Siasatan terhadap kedua-dua telefon yang dirampas pengawal penjara itu kemudian membawa kepada penemuan senarai alamat 26 individu kaya yang dipercayai menjadi sasaran.
Selain Mbappe, senarai berkenaan turut dikatakan merangkumi seorang ahli perniagaan dari China, beberapa pemilik kedai barang kemas dan seorang peniaga daging dari Turkiye.
Sumber yang rapat dengan siasatan memberitahu Le Parisien bahawa kandungan kedua-dua telefon berkenaan sangat mendedahkan.
“Dua telefon dirampas oleh pengawal penjara dan kandungannya sangat mendedahkan.
“Dia juga mahu menyasarkan seorang penyanyi rap dan pemain bola sepak Kylian Mbappe,” kata sumber tersebut.
Ketika disoal siasat, Clement bagaimanapun menafikan dirinya sebagai dalang utama plot berkenaan.
Remaja itu turut memohon supaya dikeluarkan daripada tahanan pengasingan dan memberi alasan mahu kembali menjalani kehidupan normal.
Dia memberitahu pihak berkuasa bahawa dirinya telah berhenti sekolah ketika mengikuti pengajian vokasional dalam bidang masakan, namun berhasrat menyambung semula pengajian dan mengejar cita-cita untuk menjadi seorang cef.
Bagaimanapun, permohonannya ditolak dan mahkamah memutuskan Clement kekal dalam tahanan pengasingan sementara siasatan terhadap plot berkenaan diteruskan.
Kes berkenaan kini menjadi perhatian pihak berkuasa Perancis memandangkan ia dipercayai melibatkan perancangan jenayah terancang serta sasaran terhadap sejumlah individu berprofil tinggi.
Bagi Mbappe, perkembangan itu menambah satu lagi isu di luar padang buat penyerang Real Madrid berkenaan, yang kini menjadi antara nama paling dikenali dalam dunia bola sepak.