Pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching, mempunyai misi belum selesai apabila bekas juara dunia dua kali dari Poland, Piotr Lobodzinski, kembali mencabarnya dalam Kuala Lumpur Tower Run International Challenge, 20 September depan.
Dua tahun lalu, Wai Ching terpaksa akur di tempat kedua dengan Lobodzinski mencatat masa dua saat lebih pantas daripadanya.
Menjuarai edisi lalu, catatan 8 minit 11 saat yang dilakukan belum memberikan kepuasan sepenuhnya, dan dia bertekad menamatkan larian kali ini dengan rekod di bawah lapan minit.
"Tahun lalu saya kalah kepada bekas juara dua kali dari Poland, jadi kali ini saya berpeluang untuk menebusnya.
"Mungkin perlumbaan yang lalu saya terlalu tertekan untuk memenuhi jangkaan penyokong tempatan selain perancangan yang tidak menjadi.
"Kali ini saya akan menggunakan sepenuhnya kelebihan untuk berlatih di venue ini," katanya.
Misinya kali ini bakal berlangsung dalam suasana agak berbeza apabila acara larian itu memperkenalkan garisan penamat baharu di Sky Garden selepas kesemua peserta menakluk 1,608 anak tangga Menara Kuala Lumpur.
Edisi ke-24 itu turut menyasarkan penyertaan rekod 2,500 pelari dari 30 negara.
"Saya menggalakkan sesiapa sahaja untuk menyertai pertandingan ini tanpa mengira peringkat umur," kata Pegawai Pengarah Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur Tower Run International Challenge, Khairil Faizal Othman.