Skip to main content

Bola Sepak

Krisis semakin parah! FIFA-UEFA terus 'bergaduh'

FIFA

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan pada Selasa bahawa mereka merancang untuk menubuhkan sebuah anak syarikat bernilai AS$20 bilion (kira-kira RM81,800,000,000) bagi menguruskan Piala Dunia serta kejohanan-kejohanan lain di bawah kelolaannya, selain menawarkan pegangan sehingga 20 peratus kepada pelabur luar.

Cadangan itu bagaimanapun mengundang kecaman keras daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), yang menuduh FIFA seolah-olah meletakkan "jiwa" bola sepak untuk dijual.

Di bawah pelan berkenaan, FIFA akan menubuhkan FIFA Forward Enterprise (FFE) bagi mengendalikan operasi komersial dan penganjuran acara.

FIFA yang baru sahaja menganjurkan Piala Dunia 2026 dengan 48 pasukan di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico – edisi terbesar dalam sejarah kejohanan itu – akan terus mengekalkan kawalan penuh terhadap FFE, namun akan menawarkan pegangan minoriti kepada pelabur swasta bagi mengumpul sehingga AS$4.2 bilion.

Menurut FIFA, sebuah syarikat pelaburan yang diasaskan oleh Joshua Kushner, adik kepada Jared Kushner, menantu Presiden AS, Donald Trump, dijangka mengetuai kumpulan pelabur yang dicadangkan.

Cadangan itu dijangka terus merenggangkan hubungan antara FIFA yang berpangkalan di Switzerland dengan UEFA, apabila badan bola sepak Eropah itu terus melihat dirinya sebagai penjaga tradisi permainan, manakala FIFA sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan memberi tumpuan kepada peluasan akses bola sepak melalui suntikan kewangan.

FIFA merupakan antara organisasi sukan terkaya di dunia dengan menjana pendapatan berbilion dolar, sebahagian besarnya menerusi hak penyiaran, penajaan dan pelbagai perjanjian komersial berkaitan Piala Dunia.

Namun, badan itu menegaskan cadangan baharu tersebut mampu meningkatkan dana yang disalurkan bagi memperluas akses kepada sukan itu serta memperkukuh pembangunan bola sepak di seluruh dunia, dengan semua keuntungan bersih akan dilaburkan semula ke dalam pembangunan sukan berkenaan.

"Bola sepak adalah sukan paling popular di dunia dan merupakan pemangkin luar biasa kepada pembangunan manusia serta masyarakat," kata Presiden FIFA, Gianni Infantino, dalam satu kenyataan.

"Sebahagian daripada dunia bola sepak telah berjaya menukar populariti itu kepada nilai komersial yang luar biasa. Kami meraikan kejayaan itu dan mahu ia diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem bola sepak.

"Tanggungjawab kami adalah memastikan seluruh dunia bola sepak turut berkembang. FIFA wujud untuk menyokong pembangunan yang mampan dan inklusif di setiap pelosok dunia."

FIFA turut menegaskan ia akan terus mengekalkan kawalan eksklusif ke atas anak syarikat tersebut, termasuk kuasa penuh terhadap tadbir urus bola sepak, penganjuran pertandingan, kalendar perlawanan serta semua keputusan berkaitan aspek peraturan dan sukan.

Cadangan itu menerima bantahan hebat daripada UEFA, yang menyifatkannya sebagai tindakan yang "melangkaui batas dan tidak sepatutnya dilakukan oleh institusi pentadbiran bola sepak."

"UEFA memandang perkara ini dengan amat serius," menurut kenyataan badan itu.

"Begitu juga setiap Persatuan Bola Sepak Kebangsaan, liga, kelab, pemain, penyokong, kerajaan dan semua pihak yang mengambil berat mengenai masa depan permainan ini.

"Jiwa dan tadbir urus bola sepak bukanlah aset untuk diperdagangkan, lebih-lebih lagi tanpa sebarang ketelusan mengenai siapa yang akan meraih keuntungan kewangan. Tiada siapa memiliki bola sepak. Ia bukan milik FIFA untuk dijual."

Hubungan antara UEFA dan FIFA semakin tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, malah tidak menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia susulan beberapa pertikaian melibatkan prosedur disiplin, urusan pengadilan serta operasi perlawanan.

Jurucakap FIFA memaklumkan cadangan itu akan dibentangkan kepada 211 persatuan anggota FIFA serta Majlis FIFA, yang akan menjadi pihak tunggal membuat keputusan muktamad mengenainya.

FIFA menjelaskan dana yang diperoleh daripada pelaburan itu akan digunakan bagi mewujudkan satu program pilihan yang membolehkan setiap persatuan anggota memohon sehingga AS$20 juta sebagai dana sekali beri untuk pembangunan infrastruktur, latihan kejurulatihan, pasukan kebangsaan, penganjuran pertandingan, pembangunan bola sepak akar umbi serta bola sepak wanita.

Jumlah itu dijangka meningkat kepada AS$24 juta bagi kitaran 2035 hingga 2038.

Anda mungkin berminat dengan

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Must Watch Video