Skip to main content

Bola Sepak

Krisis Kepimpinan FIFA: Infantino hilang kepercayaan UEFA, CONCACAF selepas pelan komersial Piala Dunia gagal

Krisis Kepimpinan FIFA Infantino hilang kepercayaan UEFA, CONCACAF selepas pelan komersial Piala Dunia gagal

Presiden FIFA, Gianni Infantino, kini berdepan tekanan paling hebat sejak mengambil alih tampuk kepimpinan badan bola sepak dunia itu pada 2016 apabila dua konfederasi utama dunia, UEFA dan CONCACAF, secara terbuka mengisytiharkan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Krisis itu tercetus selepas FIFA menarik balik cadangan bernilai ASD4.2 bilion (RM17.16 bilion) untuk menjual pegangan dalam hak komersial Piala Dunia kepada pelabur swasta, susulan bantahan hebat daripada pelbagai pihak dalam komuniti bola sepak antarabangsa.

Cadangan berkenaan dikatakan dikemukakan tanpa proses rundingan yang menyeluruh bersama konfederasi, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai ketelusan dan tadbir urus FIFA.

UEFA menyifatkan keputusan FIFA menarik balik cadangan itu sebagai 'kemenangan buat seluruh komuniti bola sepak', namun menegaskan tugas sebenar kini adalah mengembalikan kepercayaan terhadap badan induk tersebut.

Dalam kenyataannya, UEFA mendakwa kepimpinan semasa FIFA bukan sahaja kehilangan keyakinan daripada Eropah, malah semakin ramai ahli keluarga bola sepak dunia turut mempersoalkan hala tuju organisasi itu.

Lebih keras, UEFA turut menyifatkan cadangan berkenaan sebagai urusan yang dirancang secara tertutup, tidak telus dan tidak memberi manfaat jelas kepada pembangunan bola sepak dunia.

Sementara itu, CONCACAF turut mengkritik cara cadangan tersebut dikendalikan, dengan menyifatkannya sebagai tindakan unilateral yang mengabaikan proses tadbir urus sedia ada.

Menurut konfederasi itu, cadangan sebesar itu tidak sepatutnya sampai ke peringkat akhir tanpa perbincangan, konsultasi dan kelulusan bersama semua pihak berkepentingan.

Mereka turut menyifatkan insiden berkenaan sebagai bukti bahawa kepimpinan FIFA semakin jauh daripada prinsip mengutamakan kepentingan bola sepak.

Tekanan terhadap Infantino terus memuncak apabila Presiden LaLiga, Javier Tebas, menggesa beliau meletak jawatan.

Menurut Tebas, masalah sebenar bukan sekadar pelan pelaburan yang gagal, tetapi model tadbir urus FIFA yang didakwa terlalu memusatkan kuasa kepada seorang individu serta mengurangkan mekanisme semak dan imbang.

Persatuan Bola Sepak Belanda pula menyifatkan proses itu sebagai 'pelanggaran kepercayaan yang serius', manakala Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman, Bernd Neuendorf, mendakwa Infantino bertindak secara bersendirian tanpa ketelusan.

Bagaimanapun, tidak semua pihak mengambil pendirian sama.

Persatuan Bola Sepak Qatar terus menyatakan sokongan terhadap usaha Infantino, manakala Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi, Fouzi Lekjaa, turut mengekalkan sokongannya walaupun mengalu-alukan keputusan FIFA menarik balik cadangan tersebut.

Di Asia, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia, Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, menyambut baik keputusan FIFA itu tetapi mengingatkan bahawa setiap cadangan yang memberi kesan kepada bola sepak global perlu dibincangkan secara telus bersama konfederasi, ahli majlis FIFA dan semua pihak berkepentingan.

Kontroversi ini hadir pada saat penting apabila Infantino dijangka mempertahankan jawatannya bagi penggal keempat dalam Kongres FIFA yang dijadual berlangsung di Maghribi tahun depan.

Walaupun sebelum ini beliau dilihat hampir pasti dipilih semula tanpa tentangan, pemerhati sukan berpendapat krisis ini boleh mengubah landskap politik FIFA dan membuka ruang kepada cabaran baharu terhadap kepimpinannya.

Selepas hampir sedekad memimpin FIFA, Infantino kini bukan sahaja berdepan persoalan mengenai satu cadangan komersial yang gagal, malah turut diuji dari sudut kredibiliti, ketelusan dan keyakinan ahli-ahli badan induk bola sepak dunia itu.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Related Topics

Must Watch Video