Presiden UM Damansara United, Afizal Abu Othman, menjadikan pengalaman dua dekad dalam industri bola sepak sebagai kekuatan utamanya untuk membawa perspektif baharu dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Afizal yang juga bekas Setiausaha Agung Felda United akan berdepan pertandingan satu lawan satu dengan Datuk N Saaran bagi merebut jawatan naib presiden tiga dalam Kongres Luar Biasa FAM (EGM) Kedua, 17 September depan.
Afizal turut menjelaskan kerjasama di antara FAM dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) boleh diperkasakan, susulan peranan universiti malaya dalam menjayakan pelbagai program bola sepak tempatan.
Lantas, dia berharap penglibatannya dalam pemilihan kali ini dapat memberi nilai tambah kepada usaha badan induk itu memperkukuhkan pembangunan bola sepak negara dalam semua peringkat.
"Pengalaman selama 20 tahun saya mungkin boleh bantu perancangan FAM pada masa akan datang, baik dalam profesional mahupun akademik.
"Saya juga pernah berada dalam industri dan swasta, Insya-Allah akan gunakan sebaiknya jika dipilih nanti," katanya.