Skip to main content

Bola Sepak

Kongres FAM: Jumlah pencalonan biarlah lebih relevan

j

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar memperhalusi jumlah undian untuk bertanding bagi menyemarakkan lagi persaingan di setiap posisi menjelang kongres badan induk kelak.

Sebagai contoh, undian untuk bertanding bagi kedudukan presiden ditetapkan sebanyak enam undian yang juga menyamai Persekutuan Bola Sepak antarabangsa (FIFA) bagi posisi presiden badan dunia itu.

Advertisement

Situasi ini tampak canggung memandangkan FAM hanya memiliki 20 ahli gabungan termasuk dua persatuan yang digantung iaitu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang digantung sejak 2024, lantas menjadikan jumlah pemegang taruh yang layak mengundi seramai 18 wakil sahaja.

"FIFA memerlukan sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada 200 ahli gabungan (berbanding) FAM, enam.

"Jadi ini tidak profesional. Sesiapa pun yang bertanding, biar lebih ramai lebih bagus untuk meraikannya.

"Jadi pencalonannya harus dikurangkan kepada mungkin empat atau tiga," katanya.

Berbeza dengan FIFA yang memiliki 211 ahli gabungan, tampak lebih profesional bagi proses pemilihan pemimpin mereka dengan mengalu-alukan lebih ramai calon bagi setiap posisi.

Shahril yakin, wakil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang sedang melakukan audit ke atas FAM akan melihat perkara ini sebagai salah satu statut yang perlu diubah, dengan mengharapkan, usul ini di terima semua pemegang taruh dalam persidangan kongres kelak.

"Akhirnya ia terpulang kepada ahli gabungan sendiri sebab semua perubahan status FAM mesti dibawa ke kongres untuk diluluskan ahli gabungan.

"Saya harap ahli gabungan bersatu kalau AFC bawa perkara yang baik untuk usul-usul tersebut diluluskan. Saya harap semua ahli gabungan membantu," katanya.

 

Must Watch Video