'Bagai sirih pulang ke gagang'
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menamatkan penantian mengenai status dua bekas jurulatih beregu negara, Teo Kok Siang dan Wong Pei Tty, yang disahkan kembali ke pangkuan barisan kejurulatihan badan induk badminton negara itu hari ini..
Kedua-dua jurulatih yang pernah memegang portfolio dalam beregu campuran dan wanita itu akan melaporkan diri kepada pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky bermula 1 September ini.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Kok Siang dan Pei Tty menyertai barisan kejurulatihan BAM.
Langkah awal Kok Siang menyaksikan khidmatnya selama lima tahun sebagai jurulatih skuad beregu remaja dan senior (termasuk beregu campuran) sebelum meletak jawatan untuk melatih pemain profesional dengan antaranya membimbing gandingan Goh Soon Huat dan Shevon Lai.
Kepulangan Pei Tty bersama BAM pula akan menyaksikan peranannya dalam membantu ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak.
Pei Tty yang pernah mengecapi kejayaan sebagai pemain wanita pertama dengan kejuaraan berganda dalam satu tahun bersama pasangan yang berlainan (Kejohanan Dunia dan Sukan Asia pada 2006), malah dia membina kerjaya kejurulatihan sejak dinaikkan pangkat ke skuad elit kebangsaan pada Mac 2015, selain menjadi watak penting kepada gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M.Thinaah sehingga kontraknya tamat pada Disember 2020.
Pelantikan ini dibuat susulan pemergian ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto, daripada barisan kejurulatihan BAM.