Kuala Lumpur City (KL City) dijangka mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu pada 30 Oktober ini dengan beberapa bekas pemain dikenal pasti sebagai calon untuk mengisi jawatan berkenaan.
Perkara itu disahkan Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar, yang berkata calon berpotensi sudah dikenal pasti bagi menerajui kelab dalam fasa penstrukturan semula.
Jawatan CEO sebelum ini disandang Stanley Bernard.
“CEO yang baru akan diumumkan 30 Oktober ini, calon-calonnya sudah ada dan mereka dalam kalangan bekas pemain. CEO yang baharu ini perlu memahami pasukan dalam fasa penstrukturan semula dan mengharapkan mampu membawa masuk penaja baharu untuk pasukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Syed Yazid berkata pihak kelab akan mendapatkan laporan daripada ketua jurulatih, Dollah Salleh, terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai keperluan memperkuat skuad berdasarkan prestasi selepas enam perlawanan.
Menurutnya, KL City memerlukan pemain berkualiti bagi meningkatkan daya saing pasukan.
Beliau turut menjelaskan bahawa permohonan naturalisasi melibatkan pemain pertahanan Giancarlo Gallifuoco telah dikemukakan dan kini menunggu keputusan Kementerian Dalam Negeri.
“KL City yang membuat permohonan status naturalisasi. Kami baru sahaja menghantar permohonan dan sedang menunggu keputusan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Pelantikan CEO baharu serta keputusan mengenai pengukuhan skuad dijangka menjadi antara perkara penting dalam hala tuju KL City ketika kelab itu meneruskan proses penstrukturan semula.