Pencapaian lima pingat emas kem angkat berat negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026 sememangnya membanggakan, namun pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli, mengingatkan agar kejayaan itu tidak diraikan secara berlebihan.
Menurut Pekan, teguran berkenaan bukan bertujuan menidakkan pencapaian atlet negara, sebaliknya realiti yang perlu diterima sebelum mereka berdepan cabaran pada tahap lebih tinggi.
Ini kerana tahap persaingan dalam sukan Komanwel dilihat berbeza berbanding Sukan Asia, yang menghimpunkan kuasa besar benua seperti China, Korea Selatan, Jepun dan India.
'Juara Sukan Komanwel perlu bukti kredibiliti di Sukan Asia'
Harapan pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli, menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 👀
More on @ASTROARENA pic.twitter.com/IAVLVTfoK1— Kamal Nizam (@kamalnizamm) August 8, 2026
Pekan berkata, kejayaan di Glasgow seharusnya dijadikan pencetus motivasi untuk atlet angkat berat negara terus memperbaiki prestasi, bukannya alasan untuk berasa selesa.
Lebih penting, atlet yang menyerlah di Glasgow perlu membuktikan keupayaan mereka apabila berdepan saingan lebih kompetitif di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menurutnya, temasya di Jepun itu akan menjadi medan sebenar untuk mengukur sejauh mana atlet angkat berat negara mampu bersaing di peringkat tertinggi Asia.
Kejayaan lima emas di Glasgow tetap menjadi pencapaian yang wajar diberikan penghargaan, namun bagi Pekan, Aichi-Nagoya adalah pentas yang akan menentukan sama ada prestasi tersebut benar-benar mampu diterjemahkan ketika berdepan kuasa besar sukan angkat berat Asia.
Justeru, Pekan berharap barisan atlet yang menyerlah di Glasgow tidak berhenti setakat itu, sebaliknya menjadikan kejayaan berkenaan sebagai batu loncatan untuk mencipta impak lebih besar di pentas Asia.