Skip to main content

Bola Sepak

'Kim Pan-gon sudah tahu selok belok landskap bola sepak Malaysia'

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

KPG

"Kim Pan-gon calon terbaik”

Demikian kata bekas jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, melihat spekulasi perpindahan bekas pengendali Harimau Malaya itu bukan sekadar desas desus, tetapi satu perubahan yang wajar untuk kelab berkenaan.

Advertisement

Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Nazliazmi menyatakan kredibiliti dan reputasi pengendali kelahiran Korea Selatan itu mampu memberi nafas baharu kepada Gergasi Merah Kuning.

"Saya rasa ia satu petanda positif melihat kehadiran KPG ke Selangor.

"Dia sendiri sudah tahu selok belok landskap bola sepak negara. Jadi, bukan masalah besar untuk dia membentuk pasukan menggunakan kombinasi lokal dan import," katanya.

Nama Kim Pan-gon bukan asing buat Selangor apabila namanya sudah dikaitkan dengan kerusi panas Juara Piala Malaysia 33 kali itu sejak November lalu.

Kali ini, khabar angin itu bergema lebih kuat, seiring isyarat yang memberi bayangan bahawa persetujuan antara kedua-dua pihak sudah semakin hampir ke garis akhir.

Nazliazmi yang pernah membawa naib juara Liga Super musim lalu itu ke pentas final Piala FA pada 2018 percaya pengalaman luas Kim Pan-gon dilihat sebagai kunci yang mampu membuka pintu kejayaan.

Malah, hubungan baiknya bersama beberapa pemain seperti Faisal Halim, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Quentin Cheng juga menjadi nilai tambah kepada kepimpinan Pan Gon.

"Untuk jangka masa panjang, kesesuaian akan berterusan. Untuk saya sebagai bekas jurulatih, perkara ini akan menjadi penambahbaikan secara total.

"Cumanya pencapaian di peringkat Asia sedikit bergelut. Namun, untuk jangka masa panjang ia sangat baik," tambahnya.

Setakat ini, Selangor dan Kim Pan-gon memilih untuk mengunci mulut apabila kedua-dua pihak enggan memberi komen lanjut berhubung spekulasi itu.

Must Watch Video