Selepas melalui proses penjenamaan semula pada Jun lalu, Kidsnergy Family Run kembali menemui peserta dengan edisi terbaharu yang bakal berlangsung Ahad ini di lokasi baharu, TARCOR Park, Melaka.
Masih mengekalkan objektif menggalakkan gaya hidup aktif sejak usia muda, larian santai sejauh 2.4 kilometer itu dijangka menawarkan pengalaman berbeza kepada ibu bapa dan anak-anak dalam suasana yang lebih mesra keluarga.
Pemilihan Melaka sebagai venue baharu turut mencerminkan hasrat penganjur untuk memperluaskan komuniti Kidsnergy ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.
Lebih daripada sekadar acara larian, Kidsnergy terus membawa misi membina persekitaran sukan yang positif buat kanak-kanak menerusi kerjasama bersama rakan-rakan korporat, selain menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti riadah bersama keluarga.
Sementara itu, rata-rata peserta melahirkan keterujaan kerana dapat meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga sambil mengamalkan gaya hidup sihat.
Ada yang pertama kali menyertai Kidsnergy, manakala tidak kurang juga peserta yang kembali selepas menikmati pengalaman pada edisi terdahulu.
Walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza, semua peserta berkongsi matlamat yang sama -- menikmati masa berkualiti bersama keluarga, mengeratkan hubungan serta memupuk minat terhadap aktiviti fizikal sejak usia muda.
Dengan konsep yang santai dan mesra keluarga, Kidsnergy terus membuktikan bahawa sukan bukan sekadar mengenai persaingan, tetapi juga platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membina komuniti yang lebih sihat.