Pengenalan siri terbaru di bawah penjenamaan Kidslympic, Malaysia Beach Games 2026 secara tidak langsung memberi akses sukan kepada masyarakat setempat di Langkawi.
Visi dan misi itu seiring dengan objektif utama Kidslympic dengan menjadikan medium sukan sebagai pendedahan terbaik memupuk disiplin, pembentukan sahsiah diri serta keyakinan dalam jati diri generasi baru.
Temasya sukan kanak-kanak edisi sukan pantai itu menarik minat dan sambutan luar jangkaan, secara tidak langsung mencipta impak positif penganjuran sukan kanak-kanak di Malaysia.
Kidslympic Malaysia sudah bertapak selama tiga musim selaku temasya sukan pelbagai disiplin, khusus buat kanak-kanak selain merupakan inisiatif nasional.
Ia juga menyediakan platform pembangunan sukan atlet cilik menerusi siri penganjuran sepanjang tahun melibatkan sukan tumpuan utama seperti acara larian, ping-pong dan terbaru, pickleball.
"Kami menerima banyak maklum balas yang positif mengenai penganjuran di Langkawi ini, jadi saya harap kerjasama ini dapat diadakan dengan lebih erat lagi dalam edisi pada tahun ini.
"Kami merancang untuk mengadakan Kidlympics pantai ini iaitu pada Mei atau Jun sebelum pusingan akhir pada Oktober .
"Selain larian, badminton dan bola sepak, kami cuba memperkenalkan lebih banyak sukan tradisional pantai seperti bola tampar pada tahun depan," kata Pengasas Bersama Kidslympic, Wong Kang Woon.