Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menekankan keperluan untuk pembangunan hoki di Sabah dan Sarawak berikutan kos yang terlalu tinggi untuk menyertai pertandingan kompetitif di Semenanjung.
Ia juga memberi kesan kepada sektor pembangunan hoki di sana dengan fokus selepas ini pastinya terhadap pencarian lambakan bakat di kedua-dua negeri berkenaan.
Advertisement
"Kami rasa ada lebih banyak bakat lagi dari negeri tersebut terutama di kawasan pedalaman.
"Kami mahu mengadakan kejohanan -- mungkin di Miri, Bintulu, Kuching dan Sandakan sudah ada -- tapi kami cuba adakan lebih (perluaskannya).
"Kami mahu berbincang dengan NHDP (Program Pembangunan Hoki Kebangsaan) untuk bantuan tambahan bagi menganjurkan lebih banyak kejohanan.
"Sekarang pun ramai pemain terutama dari Sabah yang mewakili pasukan kebangsaan tapi masih ada bakat yang belum dikenal pasti," katanya.
Sementara itu, hoki 5 sepasukan (5's) menjadi antara topik utama mesyuarat agung tahunan (AGM) KHM apabila persediaan awal untuk memperkasa skuad negara disokong sepenuhnya.
Ini termasuk hoki dalam dewan yang mempunyai sasaran yang sama untuk melihat skuad negara cemerlang dalam kejohanan antarabangsa, dengan Sukan SEA Malaysia 2027 menjadi fokus penting.
"Pasukan 5's kebangsaan kini di kedudukan kedua dunia.
"Kekangan kami adalah tidak cukup dana. Kami sudah menemui beberapa korporat dan bank untuk turut bantu.
"Dana diperlukan untuk tujuan pendedahan untuk pastikan menang enam emas Sukan SEA 2027.
"Hoki padang tiada masalah tapi kalau hoki dalam dewan dan hoki 5's harus dimulakan sekarang
"Jangan nak menang emas tapi tunggu sebulan sebelum temasya baru nak mula persiapan," katanya.