Setiap atlet telah melaksanakan yang terbaik dan menepati sasaran serta segala perancangan, kata ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil, selepas tamat saingan Sukan SEA Thailand minggu lalu.
Selain 16 pingat disumbangkan, termasuk lima pingat emas, enam rekod kebangsaan juga diperbaharui atlet negara dalam temasya itu dan Manshahar cukup berpuas hati dengan pencapaian kem olahraga negara.
Advertisement
"Dengan tiga rekod sukan SEA, enam rekod kebangsaan dipecahkan, kemudian ada 10 rekod perbadi terbaik dan dua rekod terbaik semusim, secara keseluruhannya, ia merupakan pencapaian yang baik dan berkualiti," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
Dalam temasya dwitahunan itu, pingat emas kem olahraga negara disumbangkan oleh Andre Anura Anuar (lompat jauh), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Jonah Chang Rigan (lontar peluru), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru) dan Grace Wong (baling tukul besi).