Pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, mengakui peluang kini lebih terbuka dalam acara keirin berikutan dua pelumba handalan tuan rumah, Kaiya Ota dan Shinji Nakano, sah tidak menyertai acara itu dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Nama kedua-dua pelumba Jepun itu tiada dalam senarai rasmi perlumbaan esok dengan difahamkan, mereka memilih untuk memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia di Shanghai, pertengahan bulan ini.
Ota yang ketika ini berada di kedudukan keempat dunia, pada awalnya dijangka menjadi antara cabaran utama buat Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus dalam acara berkenaan.
Nakano pula tidak asing buat peminat sukan negara, susulan insiden pelanggaran dramatik bersama Shah Firdaus dalam final keirin ketika Sukan Olimpik Paris 2024.
Mengimbau kembali kenangan beraksi di Velodrom Izu, Shah Firdaus turut mengakui insiden kemalangan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih segar dalam ingatannya.
"Nak kata saya trauma setakat tidaklah kerana saya telah melalui banyak fasa kemalangan.
"Esok semua pencabar akan terdesak, apatah lagi ketiadaan dua keirin Jepun dan kami tidak boleh memandang rendah sebarang lawan.
"Semuanya berlaku pada masa dan detik yang tepat, saya kena fokus dan elak sebarang sentuhan fizikal kerana berbahaya," katanya yang memenangi gangsa temasya lalu.