Skip to main content

Sepak Takraw

Kerjasama erat formula kebangkitan sepak takraw -- Sumali Reduan

j

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, yang enggan meletakkan dirinya sebagai wira kebangkitan prestasi skuad sepak takraw negara di pentas antarabangsa.

Jelasnya, kejayaan mengembalikan status sepak takraw negara sebagai kuasa besar dunia adalah hasil kerjasama erat semua pihak termasuklah barisan penyokong yang sentiasa ada bersama pasukan.

Advertisement

Di saat PSM yang dahulunya dikenali dengan nama persatuan sepak takraw malaysia hampir terkubur berikutan konflik dalaman, hadir mohd sumali memikul amanah besar menghulurkan tangan, menyatukan kepimpinan serta memulihkan keyakinan seluruh pemegang taruh sepak takraw negara.

Sumali yang mula memimpin PSM pada 2022 berjaya membawa badan induk itu ke puncak kejayaan dengan siri pencapaian luar jangka antaranya pingat emas berpasukan Sukan SEA 2025 selain lahirnya Akademi Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis lalu.

"Pujian tidak boleh kepada saya seorang sebab saya ada satu pasukan -- seperti timbalan presiden -- yang selalu memberi kerjasama. Ini adalah kepuasan pengurusan tertinggi.

"Yang perlu diberi pujian adalah pemain kerana bukan senang nak capai ke tahap ini. Syahir (Rosdi), Azlan Alias dan Farhan Adam ambil masa 10 tahun untuk capai tahap konsisten dan berjaya.

"Saya nak tamatkan badi (kejuaraan ini) pada zaman (kepimpinan) saya -- dalam masa singkat -- saya tidak mahu ambil masa 5-10 tahun.

"Sebab itu saya ambil langkah berani, anjurkan Piala Dunia dan Piala Asia, semata-mata nak dapatkan kejayaan segera dan mengembalikan kepercayaan peminat.

"Saya nak bagi isyarat kepada bahawa sepak takraw negara sudah bangkit," katanya.

Tanpa menoleh lagi ke belakang, Sumali menggesa semua pihak yang terlibat dalam industri sepak takraw negara untuk berganding bahu demi memastikan Malaysia kekal sebagai kuasa besar sukan tradisi berkenaan.

"Dalam Sukan SEA, saya nampak kebangkitan pasukan seperti Vietnam dan Myanmar dan Sukan Asia kelak, kita tengok pula kebangkitan Jepun, Korea Selatan dan India.

"Saya positif kerana semua peminat akan bercerita bahawa sepak takraw ini persaingannya banyak, bukan di antara Malaysia dan Thailand sahaja.

"Dalam masa sama, kita kena memperkasakan pasukan, pemain dan komuniti di negara ini kerana kita akan menghadapi cabaran yang lebih besar," katanya lagi.  
 

Topik Berkaitan

Must Watch Video