Setahun tanpa mana-mana kelab selepas kali terakhir bersama Akron Zips sewaktu menuntut di Universiti Akron, pemain berdarah Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal, memilih untuk mencuba nasib di tanah kelahiran bapanya.
Dengan mengikat kontrak bersama Negeri Sembilan, pemain tengah berusia 23 tahun itu kini dipinjamkan kepada kelab Liga A1 Semi-pro, UM-Damansara United, bagi menyesuaikan diri dengan suasana Liga Malaysia.
Advertisement
Jelasnya, keputusan untuk ke Malaysia disokong penuh oleh keluarganya, termasuk abangnya, Wan Kuzain Wan Kamal, yang sentiasa dikaitkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
"Seluruh karier saya di Amerika Syarikat dan sebelum ini, saya bermain untuk Universiti Akron selama empat tahun," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Baru-baru ini, saya sudah menamatkan pembelajaran pada musim panas lalu dan sejujurnya, saya tiada kelab hampir setahun ini.
"Saya mendapat peluang untuk menjalani pemilihan bersama Negeri Sembilan dan saya tahu saya tidak boleh melepaskannya kerana ia impian saya untuk bermain secara profesional.
"Syukur ia berhasil dan kini saya berada di sini."
Mengenai penerimaan keluarganya, Wan Kuzri menambah: "Mereka amat gembira untuk saya kerana mereka tahu impian saya sentiasa untuk bermain secara profesional, jadi tidak kira di mana, ia bukan satu halangan."