'Saya tidak mahu melihat stadium kosong'
Itu apa yang dikatakan Presiden Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad, yang berharap keputusan pendengaran Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap kes tujuh pemain warisan negara tidak akan melibatkan 'domino effect' kepada liga tempatan.
Advertisement
Azmi mengakui situasi ketika ini juga mula menampakkan hasil apabila peminat bola sepak itu sendiri semakin berkurangan dan harapan diletakkan untuk lihat perkara ini dapat diubah pada masa akan datang.
"Yang penting keputusan CAS nanti tidak ada tindakan yang boleh jatuhkan imej FAM dan mendukacitakan penyokong bola sepak tanah air.
"Saya tak mahu lihat stadium kosong nanti, jika berlaku mungkin bola sepak akan jadi sukan nombor Sembilan, berbahaya buat FAM dan MFL sendiri tidak dapat mengadakan saingan liga," katanya.
Sementara itu, Azmi yang juga ahli jawatankuasa skuad kebangsaan, menyifatkan semua pihak berkepentingan perlu belajar dan mengambil iktibar untuk lebih teliti dari segi teknikal dan tidak ambil mudah tentang sesuatu proses.
Lebih-lebih lagi jika perkara itu menjadi punca kepada situasi yang kita hadapi ketika ini.
"Belajar daripada segi bagaimana proses pembelian mengambil pemain kerana ia penting, kita tahu Kerajaan Malaysia terutama KDN membantu ambil pemain itu.
"FIFA ini kita perlu melihat dalam tempoh berapa tahun atau bulan pemain itu boleh mewakili negara, ia penting, ini adalah perkara teknikal.
"Kita perlu faham setiap pertandingan mesti ada peraturan, mungkin kegagalan kita daripada aspek teknikal yang membuatkan kita berasakan menunggu jawapan yang sebenarnya." tambahnya.