Skip to main content

Bola Sepak

Keputusan CAS: Perinciannya dijangka lebih gerun -- Zakaria Rahim

Liga Super, Liga-M

'Alasan bertulis atau alasan penuh keputusan' yang akan dikeluarkan hasil siasatan di peringkat Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) dijangka lebih menggerunkan.

CAS pada Khamis lalu hanya mengeluarkan keputusan melibatkan isu tujuh pemain tidak sah bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekadar dalam bentuk siaran media.

Advertisement

Dalam masa terdekat, CAS dijangka akan mengeluarkan perincian penuh hasil siasatan berhubung skandal bola sepak Malaysia yang menjadi perhatian dunia ketika ini.

Misteri siapakah dalang yang menjadi orang tengah bagi kemasukan tujuh pemain ini telah dipersoalkan di peringkat Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan perkara ini dijangka bakal didedahkan dalam perincian penuh motivated decision pada bila-bila masa sahaja.

"Kita sebenarnya menunggu penilaian penuh daripada CAS dan perinciannya akan lebih mengejutkan lagi.

"Alasan penuh keputusan hanya menyatakan tentang ejen pemain. Tetapi ejen pemain ini tidak berurusan dengan FAM secara terus sebab ada ejen di tanah air yang menguruskannya.

"Bukan orang FAM yang menguruskannya, pencarian pemain ini ada satu pihak yang melakukannya. Ini tidak muncul dalam lembaga disiplin dan rayuan FIFA," kata bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim.


Sikap FAM dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan menerusi dua siaran media yang terus mempersoalkan keputusan daripada CAS selain tiada pengakuan salah atau usaha untuk memohon maaf.

"Mungkin FAM sepatutnya, apabila keluar keputusan itu, perkara pertama sekali mereka seolah-olah insaf dengan apa yang berlaku melalui permohonan maaf kepada FIFA dan AFC.

"Kalau tidak buat macam itu, FIFA mungkin akan marah.

"FAM kena tunjukkan (bahawa) mereka tidak akan lakukan lagi perkara ini dan mereka telah berubah," katanya. 

Topik Berkaitan

Must Watch Video