Skip to main content

Bola Sepak

Keputusan CAS: CEO Harimau Malaya kata tunggu

FAM

Teka-teki berhubung nasib tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini hampir menemui noktah apabila sesi pendengaran rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland selesai berlangsung awal pagi Jumaat.

Namun, episod hitam ini belum berakhir berikutan pelbagai spekulasi timbul di media sosial.

Advertisement

Dijangka, keputusan kepada persoalan peminat bola sepak tempatan itu bakal terjawab minggu hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend, tetap positif dengan perkembangan skuad kebangsaan, dan mempercayai kredibiliti pakar perundangan khas FAM yang diketuai oleh Serg Vittoz.

"Ia adalah minggu yang produktif.

"Berdasarkan kemas kini, perbicaraan tersebut mengambil masa selama 12 jam.

"FIFA mempunyai peguam mereka, kami mempunyai peguam kami bersama Kesatuan Pemain Profesional Dunia (FIFPRO) dan para pemain.

"Kami optimis."

"Ia akan mengambil masa antara beberapa hari sehingga tiga minggu.

"Mereka tidak memberikan kami garis masa yang tepat, tetapi ia pastinya tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

"Sekarang kita duduk, kita tunggu," katanya eksklusif kepada Timesport.

Kes ini menjadi antara episod paling kontroversi dalam sejarah bola sepak negara apabila tujuh pemain warisan -- Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero -- sebelum ini digantung oleh badan bola sepak dunia, FIFA September lalu atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen kelayakan.
 

Must Watch Video