Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberikan maklum balas berkenaan keputusan rayuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap tujuh pemain Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ekoran pemalsuan dokumen.
Badan induk itu kekal membayar denda RM1.8 juta sementara bintang-bintang Harimau Malaya itu perlu menyambung tempoh penggantungan 12 bulan, namun terhad kepada perlawanan atau kejohanan rasmi.
Advertisement
Sehubungan itu, tumpuan kini terarah kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi menentukan kedudukan FAM dan skuad kebangsaan, sementara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengetahui tindakan lanjut melibatkan empat pemain yang beraksi bersama kelab tempatan.
AFC menerusi kenyataan rasmi menunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika sebelum mengumumkan satu lagi keputusan kelak.
“AFC mengambil maklum mengenai keputusan yang dibuat oleh CAS pada 5 Mac 2026 melibatkan FAM serta beberapa pemain berkait pelanggaran Kod Tatatertib FIFA.
“Perkara ini kini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC.
“AFC tidak akan memberikan sebarang komen terhadap siasatan dan/atau prosiding yang sedang berlangsung oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC," katanya.