Keputusan pengendali Arsenal, Mikel Arteta, untuk mempertaruhkan Kepa Arrizabalaga berbanding David Raya dalam aksi final Piala Liga memakan diri selepas skuad The Gunners tewas 0-2 kepada Manchester City di Stadium Wembley.
Kekalahan itu menyaksikan impian Arsenal untuk menamatkan kemarau trofi selama lima tahun terus lebur, sekali gus mengundang kritikan tajam daripada penganalisis sukan, Jamie Redknapp.
Advertisement
David Raya yang merupakan penjaga gol nombor satu Arsenal sekadar memanaskan bangku simpanan manakala Kepa dikekalkan dalam kesebelasan utama atas faktor penggiliran pemain memandangkan dia beraksi dalam setiap pusingan awal kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, percaturan Arteta itu ternyata membawa padah apabila kesilapan mudah Kepa pada minit ke-60 menghadiahkan gol pembukaan buat City menerusi Nico O'Reilly.
Bintang muda kelahiran akademi City itu kemudiannya menggandakan kedudukan menerusi tandukan selang empat minit kemudian untuk memastikan kemenangan mutlak milik skuad bimbingan Pep Guardiola.
"Kepa IS NOT as good as Raya... the decision to play him is a MONUMENTAL ERROR!"
Jamie Redknapp & Micah Richards on Mikel Arteta's decision to start Kepa Arrizabalaga 👀 pic.twitter.com/L4Rrrzsqsr— Sky Sports Football (@SkyFootball) March 22, 2026
Redknapp yang juga bekas pemain tengah Liverpool menyifatkan tindakan Arteta mengenepikan Raya sebagai satu kesilapan besar yang tidak sepatutnya berlaku dalam perlawanan sepenting itu.
"Saya tahu orang akan bercakap mengenai sentimen kerana dia (Kepa) telah bermain dalam pusingan terdahulu, tetapi hakikatnya Kepa tidak setanding Raya. Itulah sebabnya dia adalah penjaga gol nombor dua anda.
"Jadi mengapa dalam perlawanan akhir utama, ketika anda sedang bergelut untuk memenangi trofi setelah sekian lama, anda memutuskan untuk menurunkannya?
"Anda (Arteta) perlu bertanggungjawab atas perkara itu; ia adalah satu kesilapan besar," katanya kepada Sky Sports.
Tambah Redknapp lagi, walaupun Kepa bukanlah penjaga gol yang lemah, namun perbezaan kualiti antara kedua-dua penjaga gol itu jelas memberi kesan kepada keputusan perlawanan.
"Saya tidak katakan dia penjaga gol yang teruk, tetapi dia tidak sebagus Raya dan strategi itu telah memakan diri.
"Anda mungkin boleh kata James Trafford (penjaga gol City) juga bukan pilihan utama mereka, tetapi dia berjaya melakukan tiga penyelamatan besar dan hampir tidak diuji sepanjang perlawanan," ujarnya. -- Sinar Harian