Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen, turut tampil memberikan ulasan terhadap prestasi satu-satunya wakil perseorangan negara dalam saingan Terbuka Malaysia 2025 iaitu Leong Jun Hao.
Jonassen memuji aksi cemerlang Jun Hao dalam pusingan awal kejohanan, namun mengakui kekalahan kepada Jonathan Christie memberikan pengajaran penting buat pemain muda itu.
Advertisement
Dia berharap wakil negara di ranking ke-28 dunia itu dapat memperbaiki prestasi dan kembali lebih kuat dalam saingan Terbuka India nanti.
"Semestinya dalam pusingan pertama prestasinya baik, dia pamerkan kebolehan menyerang, berjuang serta kelajuan.
"Masalah yang dihadapi adalah dalam mencari rentak untuk mengekalkan tahap dalam setiap rally serta mencari kunci untuk memenangi mata berdepan pemain utama." katanya.
Jonassen juga tidak menolak kemungkinan bekas jurulatih kepada Datuk Seri Lee Chong Wei, Datuk Tey Seu Bock, dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki senior negara.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula bagi memastikan prestasi terbaik wakil negara di peringkat antarabangsa.