Beberapa kelab bola sepak di seluruh dunia tampil menyokong sambutan Hari Wanita Antarabangsa menerusi kempen #GiveToGain, dalam usaha memupuk budaya keikhlasan hati serta kerjasama dalam pembangunan sukan wanita.
Hari Wanita Antarabangsa yang lazimnya disambut setiap 8 Mac bertujuan mengiktiraf pencapaian wanita di seluruh dunia dengan menekankan usaha berterusan untuk mencapai kesaksamaan jantina.
Advertisement
Bagi tahun 2026, tema rasmi yang dipilih adalah “Give To Gain”, menekankan apabila organisasi, penyokong dan institusi melabur lebih banyak dalam pembangunan sukan wanita, seluruh ekosistem sukan akan mendapat manfaat.
“Apabila lebih banyak sokongan diberikan kepada sukan wanita, kita akan melihat liga yang lebih kuat, penonton yang lebih ramai dan lebih banyak ikon sukan untuk generasi akan datang,” menurut mesej kempen tersebut.
Prinsip “Give To Gain” turut ditekankan di peringkat akar umbi, termasuk pelaburan dalam akademi bola sepak wanita, pembangunan kejurulatihan serta pertandingan remaja bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu pada masa hadapan.
Chelsea dalam pada sama turut melancarkan kempen mereka sendiri bersempena sambutan itu dengan slogan “Every woman. Every girl. Every season.”
Kelab itu komited untuk memperkukuh nilai kesaksamaan jantina dalam bola sepak.
“Kami berusaha untuk memenuhi keperluan wanita dalam komuniti kami, dengan mewujudkan ruang di mana mereka difahami, diperkasakan dan diberi peluang untuk berkembang,” menurut kenyataan kelab tersebut.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu juga, beberapa pemain telah terlibat dalam satu bengkel, di mana mereka berkongsi pengalaman, nasihat dan inspirasi antara satu sama lain.
Inisiatif itu disertai pemain bertaraf bintang seperti Sam Kerr dan Kadeisha Buchanan, yang hadir sebagai tetamu jemputan untuk berkongsi pandangan mengenai kepentingan menyokong pembangunan sukan wanita.