Skip to main content

Bola Sepak

Kemenangan ke atas Vietnam boleh tutup sedikit kekecewaan, redakan keadaan -- Bekas pemain

Asmawi

Apa sahaja keputusan yang bakal berlaku, Peter Cklamovski perlu menunaikan tanggungjawab terdekat, berhadapan Vietnam yang berkemungkinan bakal menjadi 'last dance' ketua jurulatih itu bersama Harimau Malaya.

Menurut bekas pertahanan kebangsaan, Asmawi Bakiri, apa yang berlaku sudah pun berlaku, hakikatnya aksi hujung bulan ini adalah penentu maruah yang tercalar dengan syarat Cklamovski perlu menghadiahkan kemenangan buat Malaysia.

Advertisement

Ini adalah penawar terakhir, selepas skuad negara dihimpit dengan isu pemalsuan dokumen melibatkan 7 pemain, ia benar-benar menghenyak keseluruhan wajah bola sepak negara yang menjadi perbincangan hangat di seluruh dunia.

"Walaupun perlawanan itu sudah tidak membawa apa-apa makna, ia lebih kepada maruah kerana dapat menentukan sedikit nasib pemain dan pengurusan bahawa ia sangat penting.

"Kemenangan boleh menutup sedikit kekecewaan dan meredakan keadaan," katanya.

Tanpa kelibat 7 pemain itu, skuad negara masih miliki kualiti tersendiri.

Malah, sebelum kehadiran mereka, barisan sedia ada pernah mencipta sensasi dengan kejayaan mencetak keputusan seri ke atas gergasi Asia dalam aksi Piala Asia 2023 di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Kini, Cklamovski perlu membuktikan magisnya demi menongkah setiap tohmahan di atas kepincangan yang berlaku dalam skuad revolusi ini.

"Pemain sedia ada tetap boleh memberikan cabaran yang baik dengan syarat motivasi dan momentum mereka dalam keadaan tinggi.

"Misi untuk mendapatkan semula keyakinan peminat," tambahnya.

Must Watch Video