Pengarah Teknikal kem terjun negara, Yeoh Ken Nee, berpuas hati dengan prestasi atlet sepanjang 2025 yang disifatkan meningkat khususnya pelapis susulan beberapa kejayaan di peringkat tertinggi termasuk Kejohanan Akuatik Dunia serta Sukan SEA Thailand.
Mesyuarat rasmi perancangan 2026 serta sesi penilaian pasca 2025 bakal diadakan dalam tempoh dua minggu lagi ekoran keseluruhan pasukan masih dalam tempoh berehat.
Advertisement
Misi terbesar adalah persiapan atlet menuju ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bermula 19 September hingga 4 Oktober depan.
Memasuki tahun baharu, gandingan emas acara tiga meter (m) papan anjal seirama lelaki, Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim, mahu memperbaiki kekurangan aspek teknikal yang masih ada selain berhasrat menambah tahap kesukaran terjunan.