Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memohon tambahan dana daripada Majlis Sukan Negara bagi menambah pendedahan antarabangsa yang mampu memperkukuh persiapan pasukan negara menuju Sukan Asia 2026, dan seterusnya misi memburu emas di temasyaSukan SEA Malaysia pada 2027 nanti.
Setiausaha Agung Kehormat KRM, Mohd Fahmy Abd Jalil, menjelaskan pembiayaan itu mampu meringankan beban perbelanjaan dalam perancangan buat skuad negara yang kini berada dalam fasa pertama program sehingga hujung tahun.
Advertisement
Selaku tuan rumah Sukan dwitahunan itu pada 2027, dua pingat emas menjadi sasaran realistik diletakkan KRM.
"Kami ada memohon dan sudah hantar surat kemudian mereka akan mempertimbangkan daripada segi penambahan dana.
"Sasaran Utama tahun ini adalah untuk mara ke Sukan Asia, selain skuad lelaki dan Wanita kami akan folkus pada Kejohanan Asia 7s di China dan Sri Lanka.
"Untuk dalam negara, skaud lelaki akan pergi ke Kejohanan Borneo 7s dan satu lagi kejohanan pada bulan November." katanya.
Sementara itu, usul yang sama turut dibangkitkan ketua jurulatih tenis negara, Muliyadi Jamal, dalam mesyuarat bersama MSN hari ini.
Tambahan peruntukan dikemukan bagi persiapan atlet ke Sukan SEA 2027 di Malaysia kerana skuad tenis negara antara yang konsisten menyumbang pingat dalam setiap edisi temasya dwitahunan itu.
Dana tersebut akan digunakan untuk memberikan pendedahan antarabangsa kepada pemain termasuk menyertai 15 hingga 20 kejohanan setahun, sekali gus mengumpul mata ranking dunia.
Muliyadi turut menegaskan keperluan acara berpasukan lelaki dan wanita dikekalkan di Sukan SEA 2027 bagi memperkukuh misi memburu pingat.
"Paling penting kami minta MSN tingkatkan dana untuk sukan tenis, setiap Sukan SEA kami memberikan pingat serta untuk persediaan atlet.
"Jika boleh tujuh acara di Sukan SEA Bangkok dikekalkan tetapi sebab mahu menjadi juara keseluruhan ada acara akan dikurangkan tetapi keutamaan acara berpasukan yang saya harap dapat dikekalkan." tambahnya.