Selepas kejayaan meraih empat pingat emas di Sukan para ASEAN pada Januari lalu, barisan atlet ping pong para negara kini mengalihkan fokus kepada misi lebih besar iaitu melayakkan diri ke Kejohanan Ping pong Para Dunia 2026 yang dijadual berlangsung di Pattaya, Thailand pada pertengahan November tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Para Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM), Dr. Syarizal Abdul Rahim, berkata persiapan atlet akan diperkukuh menerusi beberapa siri latihan dan kejohanan antarabangsa bagi mengumpul mata kelayakan ke kejohanan dunia serta Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya.
Advertisement
“Ia adalah satu proses yang berterusan.
“Kita akan ke China sebelum ke Aichi-Nagoya dan turut merancang menyertai beberapa kejohanan luar untuk mengumpul mata kelayakan,” katanya.
Menurut beliau, pasukan juga akan mengadakan kem latihan jangka panjang di Thailand yang dianggap sebagai antara kuasa besar dunia dalam sukan ping pong para.
“Kita juga akan ke Taiwan dan menjalani latihan jangka panjang di Thailand kerana kita melihat negara itu sebagai antara kuasa besar dalam ping pong para.
“Ia juga pusat latihan yang lengkap dengan kemudahan serta mempunyai ramai atlet bertaraf tinggi dari segi ranking dunia,” jelasnya.
Sementara itu, Syarizal turut mengumumkan perubahan dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan apabila bekas ketua jurulatih ping pong para remaja negara, Mohamad Azwar Bakar, dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih ping pong para bagi program podium negara.
Kekosongan yang ditinggalkan Azwar dalam skuad pelapis pula akan diisi oleh bekas pemain ping pong remaja kebangsaan, Mohamad Syazwan Salmi, yang akan membantu membangunkan barisan atlet muda negara.