Apakah sebenarnya yang terjadi?
Machan mempersoalkan tindakan pengadil yang didakwa berat sebelah dan reaksinya terhadap pemain ketika pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Jumaat lalu.
Advertisement
Perlawanan Liga A1 Semi-Pro yang diadili oleh, Mohd Izwan Abdullah, itu berakhir dengan keputusan seri 0-0, namun beberapa insiden menjadi topik panas kelab itu sendiri.
Kemas kini laman Instagram pasukan dari Sarawak itu turut mengeluarkan kenyataan malam tadi.
"Hanya Machan yang mengutip ke semua kad, termasuk dua kad merah yang dilayangkan.
"Satu kad merah diterima (tetapi kami) hanya bertanya soalan; 'Kenapa hanya tiga minit masa tambahan'
"Adakah ia adil? Mungkin tidak. Tetapi, kami tidak berhenti, kami tidak mengalah.
"Kami berjuang sehingga wisel penamat," katanya.
Satu lagi isu hangat menjadi perhatian apabila kelibat pengadil 'mencekik' pemain salah seorang tonggak Machan bagi meleraikan pergaduhan dengan pemain KDA.
Apapun, gambar tersebut boleh diberi pelbagai tafsiran dan Stadium Astro masih menantikan laporan sebenar insiden berkenaan.
Ketika dihubungi, Ketua Pegawai OIperasi (COO) Liga Bolasepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, berkata pihaknya mengambil maklum insiden berkenaan dan akan menyerahkan gambar itu untuk dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan telah dipanjangkan ke Unit Kepengadilan FAM.
