Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyifatkan status pemain kidal yang dimiliki Yap Roy King dan Aaron Tai sebagai satu kelebihan buat gandingan itu, khususnya dalam mencetuskan kekeliruan kepada pihak lawan di dalam gelanggang.
Meskipun dilihat sebagai aspek kecil, Herry percaya kelebihan tersebut mampu dimanfaatkan bagi membentuk identiti permainan pasangan berkenaan, apatah lagi kedua-duanya turut gemar mengasak lawan menerusi corak permainan agresif.
Namun, kelebihan itu perlu segera diterjemahkan kepada prestasi lebih konsisten menjelang baki saingan tahun ini, terutama dalam usaha mereka memperbaiki kedudukan ranking dunia.
Ketika ini, Aaron-Roy King berada di tangga ke-55 dunia dan perlu menembusi kelompok 32 terbaik bagi membuka peluang beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Super 1000, Januari 2027.
Bagi Roy King, kehadiran Aaron sebagai gandingan tetap memberi kelegaan selepas mereka menunjukkan perkembangan positif menerusi lima penampilan sejak digandingkan bersama.
Merendah diri, Roy King mengakui corak permainan mereka ketika ini banyak dipacu oleh Aaron yang dilihat semakin matang serta berani membuat keputusan di dalam gelanggang.
Dalam perkembangan berasingan, Herry turut menolak kemungkinan gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik beraksi pada Jelajah Dunia Akhir di China, Disember depan.
Keputusan itu mengambil kira keadaan kecederaan tumit yang dialami Wooi Yik, dengan tahap kecergasannya perlu dipastikan sepenuhnya bagi mengelakkan risiko kecederaan berulang.
Wooi Yik masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan ketika Terbuka Perancis bulan lalu, sekali gus menyaksikan gandingannya bersama Aaron Chia terpaksa menarik diri daripada Terbuka Hylo di Jerman dan Terbuka Korea minggu ini.
Lebih penting, pasangan nombor satu negara itu perlu berada pada tahap terbaik bagi menghadapi tugasan memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 yang bermula tahun depan.