Igauan ngeri kekalahan kepada Jepun dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia berulang dalam aksi penentuan tempat ketiga Kejohanan Kelayakan Piala Dunia di Ismalia, Mesir malam tadi.
Lapan tahun lalu, The Speedy Tigers diambang meraih pingat emas apabila mendahului Jepun 5-2, hanya untuk disamakan kedudukan 6-6 sebelum tewas dalam penalty shoot out.
Advertisement
Dan malam tadi, perkara hampir sama berulang buat skuad kebangsaan.
Meskipun Jepun berada dalam keadaan lebih tertekan memandangkan Malaysia sudah lebih awal mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia, perlawanan penentuan itu mempertaruhkan maruah The Speedy Tigers.
Skuad negara bermula langkah kiri apabila dibolosi gol Ooka Ryoma pada minit ke-15 tetapi Malaysia bimbingan Sarjit Singh memberikan reaksi balas dengan tiga gol pantas sumbangan Fitri Saari, Marhan Jalil dan gol pukulan sudut penalti Syed Syafiq Syed Cholan.
Kelebihan dua jaringan itu, bagaimanapun, dipadam sekelip mata Jepun dengan serangan habis-habisan untuk menambah empat jaringan berturut-turut.
kekalahan 4-5 itu menyaksikan ranking dunia skuad negara jatuh dua anak tangga ke tangga ke-15 dunia.
"Daripada segi prestasinya tidak terlalu buruk, kami menggerakkan bola, mendahului perlawanan tetapi kami membenarkan mereka untuk bangkit," kata Sarjit.
"Mungkin selepas banyak perlawanan, pemain sudah mula kepenatan tetapi misi kami datang ke sini adalah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.
"Sebelum perlawanan lagi, kami tahu kami sudah layak, tetapi kami sepatutnya memenangi perlawanan ini, tiada alasan untuk itu.
"Kami ada tiga bulan sebelum Piala Negara-Negara dan enam bulan sebelum Piala Dunia, jadi kami perlu bekerja dengan lebih keras."
