Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menganggap perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2027 yang menemukan barisannya dan Vietnam pada Selasa depan bukan sekadar perlawanan biasa.
Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Cklamovski percaya pertemuan di Nam Dinh itu sarat dengan emosi dan maruah walaupun keputusan perlawanan tidak memberi kesan kepada kedua-dua pasukan.
Advertisement
"Kami ingin memberi fokus tiga perkara dalam membina bola sepak yang mantap.
"Saya ingin menerapkan permainan menarik yang menjuruskan kepada keputusan yang baik.
"Selain aspek luar padang, kami hanya beri tumpuan kepada apa yang boleh dalam dikawal dengan memberi cabaran hebat ketika bertandang di tempat lawan yang sukar, bekerja keras ketika kem latihan dan terus membina mentaliti pasukan.
"Fokus kepada mutu persembahan yang mampu mengharumkan nama negara," katanya.
Terdahulu, kempen Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia 2027 berakhir lebih awal susulan dua kemenangan dibatalkan oleh Kondederasi Bolasepak Asia (AFC).
Malaysia diistiharkan kalah 0-3 menentang Nepal dan Vietnam gara-gara menggunakan pemain yang tidak layak, sekali gus kehilangan enam mata.
Sehubungan itu, Malaysia pastinya akan turun dengan misi menebus kekecewaan susulan isu luar padang yang menyelubungi pasukan sebelum ini.
Dalam masa sama, Vietnam pasti hadir dengan semangat untuk membalas dendam setelah dimalukan 0-4 di hadapan penyokong lawan walaupun keputusan itu akhirnya dibatalkan.
"Saya tidak dapat berpura-pura betapa kami amat terkilan, kecewa dan terluka. Bukan kami sahaja malah semua orang.
"Kami perlu menyalurkan emosi ini menjadi tenaga dan fokus yang tepat.
"Dalam situasi sukar, inilah masanya untuk kami membuktikan kepada negara untuk melangkah ke depan," katanya.