Skuad Harimau Malaya bawah 19 tahun (B-19) berkongsi satu mata dengan Indonesia ketika membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-20, di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, Laos Isnin lalu.
Meskipun terikat seri tanpa jaringan 0-0, namun pelapis Sang Garuda lebih banyak memiliki peluang terhidang untuk mencipta jaringan. Hanya masa memisahkan dan pasukan kebangsaan bernasib baik tidak dibolosi.
Di sebalik keputusan tersebut, satu dunia kini membicarakan situasi berbahaya melibatkan kesilapan penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) III, Faez Iqhwan Muhammad Azmi, yang mengawal gawang Malaysia ketika itu.
Ia hampir membawa padah ekoran risiko yang terdedah, tetapi mujur penyerang pihak lawan gagal menanduk kemas bola walaupun peluang terhidang luas.
Anak buah Shukor Adan itu kini perlu menghitung pertemuan kedua yang lebih getir dalam Kumpulan H apabila bakal berentap dengan Australia, sebelum menutup kempen berdepan tuan rumah Laos untuk menghidupkan peluang merebut slot sekurang-kurangnya sebagai naib juara.
Juara kumpulan (lapan pasukan) bersama tujuh pasukan tempat kedua terbaik kumpulan dan tuan rumah, China akan layak ke Piala Asia B-20 2027 yang akan berlangsung pada Mac 2027.
Kredit gambar dan video: TVS