Pemain warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero, menegaskan dirinya sentiasa berada dalam keadaan 'bersedia' sepenuhnya jika khidmatnya diperlukan menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam nanti.
Pemain Kuching City berusia 24 tahun itu juga berkongsikan masih terus berhubung bersama pemain kebangsaan seperti Safawi Rasid dan Noaa Laine selain mempunyai hubungan baik bersama jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Advertisement
"Sudah tentu (bersedia hadapi Vietnam). Saya sentiasa terus berusaha dan bekerja keras, sudah tentu saya bersedia.
"Ya, saya sentiasa berkomunikasi dengan mereka (para pemain kebangsaan). Saya terus berhubung, saya ada berbual dengan Safawi dan Noaa mereka kawan yang sangat baik.
"Saya ada bercakap dengannya (Peter Cklamovski) beberapa minggu lalu dan hubungan kami memang sangat rapat.
"Dia (Peter Cklamovski) seorang individu yang sangat baik serta profesional yang bagus dan saya sentiasa mengekalkan hubungan rapat bersamanya." katanya selepas aksi berdepan Selangor.
Untuk rekod, nasib tujuh pemain warisan negara termasuk Gabriel Palmero akan diketahui dalam masa terdekat berhubung kes pemalsuan dokumen seperti dakwaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan diketahui selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengadakan persidangan prosiding pada 26 Februari ini di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland.
Tujuh pemain warisan Harimau Malaya itu ketika ini diberikan penangguhan (stay of execution) daripada penggantungan 12 bulan untuk kembali beraksi buat sementara waktu sehingga keputusan muktamad CAS dikeluarkan.