Bekas ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk Dollah Salleh, menyifatkan Harimau Malaya masih ada misi yang perlu diselesaikan, meskipun sudah tersingkir dalam perebutan slot ke pusingan akhir Piala Asia 2027.
Tegasnya, kemenangan ke atas Vietnam dalam aksi terakhir pusingan kelayakan Kumpulan F itu di tempat lawan, Selasa depan, mampu menutup segala kritikan yang dilemparkan kepada skuad kendalian Peter Cklamovski ketika ini gara-gara kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.
Advertisement
Dollah percaya barisan pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini memiliki keupayaan untuk menewaskan skuad Naga Emas yang pastinya mahu menutup kempen kelayakan dengan nota kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
"Bukan saya sahajalah, semua jurulatih dan rakyat Malaysia sekalipun menganggap tiada istilah yang menganggap bahawa kami sudah pun tersingkir.
"Kita tetap mahu skuad Malaysia keluar dengan kemenangan, Vietnam pun mungkin akan dapat malu.
"Kita kena buktikan tanpa tujuh pemain ini, Malaysia mampu buktikan adalah pasukan yang terbaik (dalam pertemuan ini)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.