Skuad Harimau Malaya bawah 19 tahun (B-19) bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Australia 2-2 dalam perlawanan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-20 2027, di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, Laos semalam.
Australia membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Marcus Neill untuk memberikan kelebihan 1-0 kepada Socceroos sebelum permainan terpaksa dihentikan pada minit ke-31 akibat hujan lebat dan kilat.
Aksi hanya dapat disambung semula selepas tertangguh kira-kira dua jam, dengan kedua-dua pasukan meneruskan perjuangan dalam keadaan mencabar.
Malaysia tampil lebih bertenaga selepas rehat apabila Fadhlul Hadi Zulkarnain menyamakan kedudukan pada minit ke-50.
Momentum anak buah Shukor Adan semakin menyerlah apabila Izzuddin Afif Nazarudin meledak gol kedua pada minit ke-70 untuk membolehkan Malaysia mendahului 2-1.
Namun, Australia enggan mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Alaat Abdul-Rahman pada minit ke-82 menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Di sebalik persembahan pelapis kebangsaan itu, pujian wajar diberikan kepada penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) III, Faez Iqhwan Muhammad Azmi, yang berjaya menafikan sepakan penalti pihak lawan pada minit akhir, sekali gus mengelak kekalahan kepada Australia.
Tindakan penyelamatan itu turut mendapat perhatian peminat tuan rumah, Laos, yang turun menonton aksi itu.
Terdahulu, Faez melakukan kesilapan yang hampir membawa padah ekoran risiko gawang yang terdedah, tetapi mujur penyerang Indonesia dalam aksi lalu gagal menanduk kemas bola walaupun peluang terhidang luas.
Aksi terakhir bertemu tuan rumah bakal menjadi penentu masa depan negara dalam kempen kali ini.
Kredit gambar dan video: TVS