“Kami dibunuh dengan dua jaringan Palestin.”
Demikian luahan ketua jurulatih Harimau Malaya B-17, Shukor Adan, sebaik tumbang kepada Palestin dalam perlawanan pertama Kumpulan E, kelayakan Piala Asia B-17.
Ia selepas pemainnya gagal memanfaatkan peluang di hadapan gol yang seharusnya diterjemahkan kepada jaringan.
Shukor “terkejut” dengan barisannya kelihatan seakan-akan hilang arah dengan corak taktikal yang diterapkannya.
Tambahnya, kegagalan memastikan jaringan dapat dihasilkan adalah punca sebenar Malaysia tumpas dalam perlawanan tersebut.
Shukor turut menegaskan skuad negara perlu segera bangkit dan melupakan perkara tersebut seandainya berhasrat untuk melangkah lebih jauh.
"Kami telah merancang untuk pecahkan struktur Palestin, tapi kalau peluang tak boleh dimanfaatkan, akhirnya kami dibunuh oleh dua gol Palestin.
"Saya tak nak salahkan siapa-siapa -- ini sebahagian daripada bola sepak -- cuma apa yang mengecewakan barisan kejurulatihan kerana kami bermain sebagai tuan rumah sepatutnya boleh mendapatkan gol awal.
"Kami mempunyai peluang terhidang sebelum Palestin menjaringkan gol dan (dihukum) bola mati dua kali.
"Kami telah berpesan kepada pemain mengenai fizikal tegap Palestin dan akhirnya pihak lawan mengambil situasi tersebut," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Palestin, Mohammed Sharbaji, berkata kemenangan ke atas tuan rumah adalah “rahmat” dari tuhan atas disiplin anak buahnya.
Menurutnya, kegembiraan yang dirasakan setelah perlawanan tamat bukan hanya tertumpu kepada pemain di dalam padang, malah ia merupakan hadiah paling bermakna buat rakyat Palestin.
Ia juga menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk meneruskan momentum dalam perlawanan kedua selepas ini.
"Keupayaan pasukan ini melangkaui jangkaan saya.
"Pasukan ini bagus sementara Malaysia mempunyai pemain handalan.
"Walaupun bergelut dengan keadaan cuaca ini tapi berusaha sebagai sebuah pasukan.
"Saya juga mengharapkan Malaysia bangkit untuk perlawanan seterusnya,"katanya.