Skuad senior lelaki kebangsaan, The Speedy Tigers, yang berlepas ke Mesir hari ini bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026 akan menghadapi dua perlawanan pemanas badan di sana.
Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merangkap pengurus The Speedy Tigers, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memberikan suntikan semangat kepada pasukan sebelum berlepas dan dia dijangka menyertai skuad menjelang kejohanan.
Advertisement
Sebagai persiapan terakhir, dua aksi persahabatan menentang tuan rumah dan Jepun turut diatur bagi memastikan pasukan berada di tahap terbaik.
"KHM sentiasa menjaga kebajikan pemain. Kami sentiasa pastikan pemain dan jurulatih dapat perkhidmatan terbaik," katanya.
Dalam sama, ketua jurulatih negara, Sarjit Singh, melabel kecemerlangan Hafizuddin Othman boleh menjadi titik tolak kemaraan skuad negara ke final bagi mengesahkan slot kelayakan secara merit.
"Saya mengharapkan Hafizuddin dapat tampilkan persembahan baik.
"Kalau penjaga gol cemerlang maka kami mampu ke final.
"Saya harap kedua-dua penjaga gol negara saling bersaing sengit untuk merebut tempat," katanya.
Bagi Hafizuddin, kekalahan besar ketika menentang Belgium dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) diakui masih segar dalam ingatannya.
Namun, dia yakin latihan intensif skuad negara, khususnya dalam aspek pukulan sudut penalti dan bertahan mampu mengukuhkan benteng pasukan serta meningkatkan keyakinan menjelang aksi penting kelak.
"Kami lebih (memberi) fokus kepada persiapan pukulan sudut penalti di kawasan A dan D kerana Pakistan dan China memiliki 'flicker' yang bagus.
"Ketika dalam PSAS, kami dapat belajar untuk kurangkan defisit gol dan mengekalkan tahap konsistensi ketika berdepan Belgium dan New Zealand," katanya.