Skuad hoki lelaki negara sedia menempuhi cuaca panas terik di Mesir pada ketika Ramadan demi layak ke Piala Dunia 2026 di Belanda dan Belgium.
Sekembalinya The Speedy Tigers dari Jelajah Australia, skuad kendalian Sarjit Singh turun berlatih dengan tumpuan terarah kepada fasa pemulihan selepas mengharungi lima aksi kompetitif.
Advertisement
Dalam masa sama, Sarjit sedang menilai pemain remaja untuk berada dalam senarai 20 pemain ke kempen kelayakan Piala Dunia di Mesir, awal Mac depan.
Namun, kerisauan barisan kejurulatihan terarah kepada waktu tolak mula tiga perlawanan membabitkan peringkat Kumpulan B itu memandangkan skuad negara dijangka berdepan kesukaran untuk beraksi di tahap optimum ketika menjalani ibadah puasa.
Dalam masa sama, barisannya perlu menempatkan diri di kedudukan tiga terbaik untuk kelayakan merit ke Piala Dunia.
"Cuaca baik tapi masalahnya kami akan turun dalam perlawanan pertama harian.
"Kami perlu kuatkan mental sementara fizikal tiada masalah. Ia bukan mudah buat pemain daripada segi mental, mereka perlu bersedia kerana beraksi dalam berpuasa bukan mudah.
"Kami akan berbincang dengan ISN (Institut Sukan Negara), maka semua orang perlu galas tanggungjawab agar kami layak ke Piala Dunia.
"Kami mahu menguasai dua tangga teratas dan kalau boleh menjuarai peringkat kumpulan kerana mahu mengelak England dalam separuh akhir.
"Apa pun sasaran kami adalah dalam kalangan tiga pasukan terbaik dan sebolehnya mahu ke final," katanya.