Edisi baharu Piala Negara-negara Afrika (AFCON) akan bermula secara rasmi pada Khamis apabila aksi kelayakan peringkat kumpulan bagi edisi 2027 akan membuka tirainya, sementara juara edisi terakhir masih belum ditentukan.
Terdapat 48 negara secara keseluruhan yang akan dibahagikan kepada 12 kumpulan dengan enam pusingan kelayakan berlangsung sehingga Mac tahun hadapan. Dua pasukan teratas dalam sembilan kumpulan akan mara ke pusingan akhir.
Pusingan akhir kejohanan akan dianjurkan secara bersama oleh Kenya, Tanzania dan Uganda yang juga akan bersaing dalam pusingan kelayakan. Dalam kumpulan yang akan disertai ketiga-tiga negara tersebut, hanya satu lagi negara yang akan layak mara pusingan akhir yang melibatkan 24 negara, yang akan berlangsung pada 19 Jun-17 Julai.
Namun, dengan pusingan akhir yang akan berlangsung kurang lagi setahun, mereka masih menanti keputusan kejuaraan yang berlangsung di Maghribi pada Januari lepas.
Senegal yang menewaskan tuan rumah di final telah ditarik balik kejuaraan kerana tindakan mereka untuk protes keluar dari padang selama 14 minit di penghujung perlawanan, seterusnya menghadiahkan kejuaraan kepada Maghribi.
Senegal lalu mengemukan rayuan terhadap keputusan Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) itu dan kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 18 Oktober.
Maghribi yang menjadi pasukan Afrika terbaik dalam Piala Dunia 2026 susulan mara ke suku-akhir, akan memulakan saingan kelayakan di dalam Kumpulan A sebagai tuan rumah kepada Gabon di Rabat sebelum berdepan Lesotho pada 29 September di Bloemfontein, Afrika Selatan.