"Kami sudah selesaikan apa yang perlu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Real Warrior (TRW), Datuk Mohd Irwan Rizal, berkenaan status sekatan perpindahan pemain melibatkan pasukannya.
Meskipun berdepan kekangan masa menuju ke tarikh tutup pendaftaran pemain tengah malam ini, dia tetap percaya Kijang Emas akan dapat membawa masuk pemain baru bagi memperkuatkan pasukan itu untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini
Advertisement
Sedar akan keperluan pengendali TRW, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang hanya memiliki 16 pemain cergas untuk beraksi, pihak pengurusan kelab itu sedang mencuba sedaya upaya demi memastikan khidmat muka baru dapat dibawa masuk.
Jelasnya, amat sukar untuk TRW meneruskan saingan musim ini dengan skuad sedia ada, terutama selepas kehilangan beberapa tonggak utama, antaranya penyerang import, Ifedayo Olusegun dan Prince Aggreh, selain isu kecederaan yang membelenggu pasukan itu.
"Daripada segi sekatan sebelum ini, kami berdepan dua jenis sekatan, iaitu daripada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan satu lagi di peringkat kebangsaan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Di peringkat FIFA, Alhamdulillah, sebenarnya sudah selesai cuma apabila dikenakan sekatan, ramai tahu tetapi apabila sudah dilepaskan, ramai buat-buat tidak tahu.
"Di peringkat kebangsaan pula, Insya-Allah, kami telah mencapai kata sepakat dengan semua pihak, jadi kami kini sedang menunggu beberapa jam lagi sehingga tamat proses yang sepatutnya.
"Kami berharap sekatan itu dapat dibebaskan oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL dan kami akan dapat meneruskan perjuangan."
Untuk rekod, pada November lalu, TRW didenda sebanyak RM70,000 selain dikenakan sekatan perpindahan pemain dalam jendela kedua selepas gagal mematuhi arahan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkaitan kewajipan menyerahkan deklarasi tunggakan serta laporan kewangan yang diperlukan.