Kelantan Red Warrior menggunakan Pelan B untuk menyelesaikan isu berkaitan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk memperkuat pasukan dan dibebaskan daripada dibelenggu krisis.
Ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, mengambil inisiatif untuk menghubungi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memohon pertolongan bagi melihat isu terbabit supaya KRW mampu menyediakan skuad terkuat pada masa akan datang.
“Saya sendiri telah menghantar surat kepada AFC meminta pertolongan untuk selesaikan isu pendaftaran pemain.
"Kesian kepada pemain sedia ada kerana terpaksa bersaing dengan pasukan lain yang ada tujuh hingga sembilan pemain import.
“Setakat ini belum menunjukkan apa-apa keputusan positif daripada FIFA, jadi saya rayu belas ihsan AFC untuk membantu kami menyelesaikan isu ini.
“Pelbagai usaha telah dilakukan pihak pengurusan bagi menyelesaikan masalah ini, kami amat memerlukan pemain import di posisi pertahanan, tengah dan penyerang untuk memberi saingan kepada pasukan lain,” katanya.
Kelab Pantai Timur itu terdahulu tewas 1-4 di tangan Selangor dalam perlawanan minggu pertama Liga Super sebelum dibantai 0-5 oleh Kuching City pada aksi berikutnya.