Tumpuan peminat sukan berbasikal tanah air ketika ini tertumpu kepada Kejohanan Trek Kebangsaan 2026 dengan antara pemain yang dicanang akan menyinar adalah Adam Hakimi Nazuan.
Pelumba muda meningkat naik itu kini berada di fasa terbaik menerusi tunggangan terpuji sekali gus menawarkan sinar harapan buat skuad endurance negara.
Pada ketika seluruh umat islam meraikan perayaan Aidiladha, skuad berbasikal endurance negara fokus pada persiapan fasa akhir menuju Kejohanan Trek Kebangsaan 2026 yang dijadualkan bermula pada 8 hingga 12 Jun depan.
Kejohanan ini menawarkan kutipan 100 mata ranking (UCI) selain menjadi taruhan buat pelumba elit negara.
Skuad berbasikal endurance negara kendalian Amir Mustafa Rusli turut mempertarukan kelibat Adam Hakimi Nazuan yang dilihat memberi kekuatan sebenar buat skuad kali ini.
Adam yang masih segar dengan kejayaan melakar sejarah baru apabila mencatatkan rekod kebangsaan 4km (kilometer) kejar mengejar individu dalam Piala Trek Indonesia April lalu dengan catatan 4.24.904s (saat).
Di atas faktor itu, Adam kini dicanang untuk menjadi antara taruhan utama skuad endurance dalam Kejohanan Kebangsaan disamping Lau New Joe serta Nur Aisyah Zubir.
"Untuk endurance sasaran spesifik ada Adam, dia pernah lakukan catatan 4.24.904s di Indonesia, saya harap dia mampu perbaiki kerana dia berada di landasan terbaik.
"Dia bakat baru dan sangat komitmen dalam latihan, dia dalam proses ke tahap tertinggi. Dia kami ambil dari Sukma, saya nampak peningkatan dia." jelas jurulatih berbasikal endurance negara, Amir Mustafa Rusli.
Kejohanan edisi ke-28 itu akan kembali membuka tirai di Velodrom Nasional Nilai bermula 8 hingga 12 Jun ini.
Tumpuan pastinya terarah kepada juara keirin dan pecut lelaki 2025, Muhammad Ridwan Sahrom, serta ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati yang turut menguasai acara wanita tahun lalu.