Seramai 78 pemain profesional dan amatur dari seluruh ASEAN bakal berentap selama dua hari untuk merebut lima slot ke Kejohanan Golf Maybank 2026 di Kuala Lumpur Golf and Country Club, November hadapan.
Hari pertama saingan di Bukit Kiara menyaksikan antara tonggak harapan negara seperti Zulaikah Nurziana Nasser terpaksa melalui episod kekecewaan di awal saingan apabila melakukan variasi kesilapan hingga meragut keyakinannya.
Pemain profesional berusia 24 tahun itu menutup cerita hari pertama dengan 76 pukulan, empat di atas par.
"Tahun lalu merupakan penampilan pertama saya sebagai pemain profesional di sini dan saya hampir layak ke pusingan kedua.
"Tahun ini saya harap dapat pergi lebih jauh.
"Catatan saya tidak begitu bagus hari ini menuju dua lubang terakhir, tapi prestasi keseluruhannya baik dan perlu perkemaskan lagi aksi.
"Jadi saya harap dapat melakukan catatan yang baik esok," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, Ngo Yi Belle mengibar cabaran pemain amatur negara di pentas kelayakan meskipun baru berusia 17 tahun, namun ketenangan dan kematangannya di lapangan menjadi petunjuk -- dia berkemampuan menyandar harapan kem negara.
Bakat Yi Belle dicungkil dan diasah dalam NJDP memberi kelebihan buat dirinya menimba ilmu dan teknik golf pada awal usia.
Yi Belle yang bakal berkelana ke Amerika Syarikat demi tuntutan akademik serta karier golf, melengkapkan penampilan bersejarah buat dirinya pada hari pertama saingan dengan 77 pukulan, lima di atas par.
"Kami akan berdepan pemain handalan dari Thailand dan Singapura.
"Ia akan menjadi pengalaman baru buat saya. Saya harap dapat kembangkan lagi permainan saya di sini.
"Saya dapat belajar banyak perkara baru dan NJDP banyak membentuk saya," katanya lagi.