Pemain Jepun, Miyu Yamashita, mencipta sejarah apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Golf Maybank 2026 dengan catatan keseluruhan 22 di bawah par.
Kejayaan itu menyaksikan Yamashita mengulangi pencapaian yang diraih pada edisi lalu, namun kali ini dengan kelebihan lebih meyakinkan berbanding kemenangan terdahulu.
Pada edisi sebelumnya, Yamashita terpaksa melalui saingan playoff selepas terikat pada 18 di bawah par bersama Hannah Green dan Choi Hye Jin sebelum akhirnya dinobatkan sebagai juara.
Lebih istimewa, kejayaan di Kuala Lumpur itu turut menjadi sejarah peribadi buat Yamashita apabila dia berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali pertama dalam saingan Jelajah LPGA.
Mengulas kejayaannya, Yamashita mengakui tidak menjangkakan mampu memenangi kejohanan berkenaan untuk dua tahun berturut-turut.
“Saya sangat gembira memenangi kejuaraan ini, saya tidak menjangkakan dapat memenangi kejohanan ini buat kali kedua berturut-turut,” katanya.
Sementara itu, Yan Liu terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan keseluruhan 268 pukulan, 20 di bawah par, meskipun berjaya menghasilkan eagle di lubang ketiga.
Dua pemain pula berkongsi kedudukan ketiga dengan catatan 19 di bawah par.
Pauline Roussin-Bouchard terjejas selepas melakukan dua pukulan bogey, manakala pemain amatur, Marisa Tojai, turut kehilangan rentak selepas mencatat double bogey di lubang ke-16.
Kejayaan Yamashita mempertahankan gelaran itu sekali lagi membuktikan konsistensinya dalam kejohanan berkenaan, dengan pemain Jepun itu turut memberi bayangan untuk kembali pada edisi akan datang bagi memburu kejuaraan ketiga berturut-turut.