Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, mara ke pusingan 16 Kejohanan Dunia BWF apabila menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett, dalam aksi pusingan kedua di New Delhi, India sebentar tadi.
Turun selaku pilihan ke-10, gandingan suami-isteri itu berdepan sedikit kesukaran pada awal permainan tetapi pengalaman yang dimiliki mereka jelas membantu dengan perancangan permainan menarik yang dipamerkan untuk memenangi set pertama 21-15.
Momentum sama dikekalkan Soon Huat dan Shevon dalam set kedua dan biarpun lawan beberapa kali menyamakan kedudukan, mereka kekal tenang mencatatkan kemenangan 21-16 selepas secara keseluruhan bertarung selama 33 minit.
Menanti mereka dalam penentuan ke suku akhir esok ialah pasangan nombor lapan dunia dari China, Cheng Xing-Zhang Chi.